Bercuti ke Pulau Pangkor

by Adam Roslan on May 24, 2008

Nah! Bercuti lagi nampaknya warga Reflector Studio. Pada 19 Mei 2008 – Reflector Studio telah mengadakan satu trip percutian ke Pulau Pangkor atas jemputan saudara Badrul atau Yoi, pemilik Pangkor Net Enterprise yang merupakan seorang client Reflector Studio.

pangkor1.jpg

Kenderaan rasmi ke Pulau Pangkor

Trip yang disertai oleh Adam, Ariff aka Cedin, Epih, Farid dan Nu’man ini bertolak dari Perlis ke Lumut, Perak dengan menaiki Toyota Unser yang disponsor oleh saudara Nu’man. Kami bertolak dari Perlis tepat jam 3.15 petang dan tiba di pekan Manjung, kira-kira jam 8 malam. Kami akan bermalam di rumah sewa Farid sebelum bertolak ke Pulau Pangkor pada keesokannya. Begitulah cadangan kami. Setibanya di Manjung, kami sempat singgah di UniKL MIMET — tempat Farid belajar sekarang dalam bidang Marine Engineering.Setelah selesai mengurus diri, kami ke Kedai Nasi Ayam di pekan Manjung untuk makan malam. Sedap sungguh Nasi Ayam Manjung! Apabila selesai makan malam, kami bersiar-siar di sekitar pekan Manjung dan ke pekan Lumut. Kira-kira jam 11 malam kami pulang ke rumah untuk ‘kumpul daya’ sebagai persiapan untuk hari esok. Oh, 20 Mac adalah hari jadi Ariff Din — menurutnya, hari jadi ke-19 ini adalah yang terbaik pernah dia alami kerana bersama kawan-kawan sambil bercuti. Aktiviti ‘kumpul daya’ kami tertangguh sehingga jam 4 pagi kerana masih bersembang-sembang sambil menanti mata terpejam. Happy Birthday Cedin, Sweet 19!!!

Seperti yang dijanjikan, kami dihantar ke pekan Lumut oleh KB, housemate Farid lebih kurang jam 10 pagi dan disambut oleh Saudara Yoi di Jeti Lumut. Kami membeli tiket untuk ke Pulau Pangkor berharga RM10 setiap seorang.Walaupun trip ini disponsor oleh saudara Yoi, namun kami terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan bagi menanggung kos minyak dan tol dari Perlis ke Lumut dan beberapa kos logistik yang lain.

pangkor2.jpg

Berbincang rancangan masa depan

Pengalaman pertama kali Epih dan Cedin ke Pulau Pangkor ini digunakan sebaiknya dengan merakamkan gambar sebagai tanda kenang-kenangan. Lebih kurang 20 minit di atas feri, kami tiba di Jeti Pulau Pangkor. Setibanya di jeti, kami menaiki teksi ke Teluk Nipah yang berharga RM12 untuk sekali perjalanan. Disebabkan atas urusan yang tidak dapat dielakkan, Yoi telah menyuruh kami untuk ke Teluk Nipah sendirian. Jalan raya yang berbukit telah menjadikan Nu’man tercabar kerana dia sukakan jalan yang mencabar untuk melayan ‘kona’, katanya. Kami telah ditempatkan di Nipah Waterfront Chalet, disponsor oleh saudara Yoi. Oleh kerana bilik penuh, kami terpaksa menunggu sehingga 2 jam sebelum check-in ke bilik. Kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya oleh kami untuk merasa angin pantai. Nu’man yang sentiasa berkepit dengan kamera telah merakamkan berpuluh-puluh keping gambar yang menarik untuk dijadikan kenangan.

Kami singgah ke Warung Mak Yam untuk makan tengahari. Makanannya agak biasa — tiada apa yang special tetapi agak mahal berbanding di tanah besar. Kami turut diperkenalkan dengan Abang Safri — seorang beachboy di sini. Dia telah diperkenalkan kepada kami dan dia akan membawa kami untuk aktiviti snorkeling pada esok hari. Jam 1 petang, kami diberikan bilik dan kami berbincang untuk aktiviti pada waktu petang. Setelah bersetuju untuk bermain pantai pada jam 5 petang, kami menggunakan masa yang ada untuk tidur bagi mengurangkan rasa letih akibat tidur lewat semalam. Lebih kurang jam 5, kami semua ke pantai untuk bermain air. Sungguh tenang kerana tidak ramai pelancong semasa kami di sini. Kedai-kedai cederahati pula tidak dibuka untuk jualan kerana bilangan pelancong yang sedikit, termasuk kedai-kedai makan. Usaha mencari kedai makan juga menyukarkan kami — kerana hanya ada beberapa buah kedai makan sahaja di buka selain daripada membeli makanan ringan daripada kedai runcit berhampiran chalet.

pangkor3.jpg

Sunset dan “kanak-kanak riang”!

Sebelum jam 8, kami telah pulang ke chalet untuk bersiap untuk makan malam. Kami sempat merakamkan saat matahari terbenam di sini. Sungguh cantik pemandangannya. Jam 8.30 malam, kami ke Restoran Makbul untuk makan malam. Menu kami pada malam ini ialah — nasi putih, tom yam, telur dadar, sotong goreng tepung dan sirap ais. Walaupun makan ala kadar, kami tetap kenyang dengan makan malam pada malam ini dan berpuas hati dengan masakan Chef Makbul walaupun Tom Yam di Kuala Perlis jauh lebih sedap daripadanya. Kos makan malam kami ialah RM 6.40 x 5 = RM 32. Kemudian, kami bersiar-siar di sepanjang pantai dan pulang ke chalet untuk aktiviti ‘kumpul daya’.

Inilah hari kemuncaknya! Selepas bangun dan bersiap kami terus bersarapan merangkap makan tengah hari di Warung Mak Yam. Menu pada tengah hari ini ialah Nasi berlauk ikan temenung dan ikan masin. Harga bagi nasi dan teh o ais ialah RM 3.80. Agak murah pula hari ini ya? Kami sempat berkenalan dengan seorang lagi beachboy — Abang Mad kerana tempat kami melepak berhampiran dengan tempat simpanan botnya.

pangkor4.jpg

Terjun di tanjung. Model: Farid

Selepas makan, kami mengadakan kembara meneroka tanjung. Farid dan Nu’man menjadi ketua bagi kembara ini — memastikan kami selamat sampai ke tanjung. Tujuan utama kami ialah untuk mengambil gambar disamping menimba pengalaman baru. Kira-kira jam 2.30 petang, kami pulang ke chalet dan bersiap untuk aktiviti snorkeling di Pulau Giam. Kami dibawa oleh Abang Safri dengan menaiki bot. Kami dibekalkan safety jacket dan goggle. Kami ditinggalkan selama 2 jam di Pulau Giam untuk aktiviti ini. Ini merupakan pengalaman baru kepada kami semuaa kerana sebelum ini kami tidak pernah melakukan aktiviti snorkeling atau tinjau ikan ini. Selepas itu, kami dibawa sekitar Pulau Pangkor melawat Mentagor Bay, Pulau Batu Paus, dan Monkey Bay. Tepat jam 7, kami semua tersadai di tepi pantai sementara menanti sunset — tapi cuaca agak mendung mengakibatkan kami semua balik ke bilik untuk bersiap bagi makan malam.

pangkor6.jpg

Jom snorkeling!Â

Seperti yang dirancang — kami akan makan di Restoran Makbul tetapi mungkin kerana terlalu awal restoran tersebut tidak dibuka. Kami singgah di Restoran Purnama Beach Resort untuk makan malam, menunya — Nasi Goreng Ikan Masin. Tidaklah terlalu mahal kerana sepinggan nasi berharga RM3.50. Akibat keletihan kami terus pulang ke bilik — angan-angannya untuk tidur. Namun, kami kembali aktif dan memulakan perbincangan yang melibatkan pelbagai perkara dan topik.Bagi menghangatkan topik perbincangan kami ke gerai makan berhampiran untuk merasakan nikmat teh tarik di tepi pantai. Lebih kurang sejam berbincang, kami kembali ke bilik. Kami letih!

Harini merupakan hari terakhir bagi trip pelancongan kami pada kali ini. Selepas bersiap dan packing barang, kami ke Warung Mak Yam untuk bersarapan. Bersama kami ialah Abang Safri yang tidak putus-putus bercerita dan menjawab soalan kami yang bertalu-talu tentang Pulau Pangkor. Selesai makan, kami bersama-sama Abang Safri, Saudara Yoi dan Abang Mad mengambil gambar kenang-kenangan di pantai.

pangkor5.jpg

Bersama Abg Yoi dan Abg Safri

Kami meninggalkan Teluk Nipah dengan seribu satu kenangan. Pelbagai cerita menarik yang tertulis sepanjang percutian ini. Pelbagai perkara baru yang kami teroka. Pelbagai pengetahuan baru yang kami dapat sepanjang berada di sini. Sesungguhnya percutian ini adalah yang terbaik selepas percutian kali pertama di Pulau Langkawi, kerana ada ceritanya sendiri di sini.Dalam perjalanan pulang ke Perlis, kami sempat singgah di sebuah gerai buah di Terong — makan manggis dan durian di sana! Ah, sudah lama tidak kena durian dan manggis! Kemudian singgah sekejap di Penang untuk bertemu Aashvinder dan Mat 8 di Sungai Dua. Jam 12 malam, Adam selamat tiba di Perlis.

{ 3 comments… read them below or add one }

diebah May 24, 2008 at 9:52 pm

wahh..best gak pangkor…nnt klu ada ms..nk g sna lah..hehe..

Reply

nia June 4, 2008 at 9:18 pm

abg snow cap putih.. ouh3.. rindu dia.. hak3,dia yg bwk ktaorg jln2 sekitar pulau di pangkor.. pangkor bez larh!

Reply

paan sabri October 9, 2010 at 9:04 pm

wah.. menarik.. memang nak plan pg bercuti dengan kawan2 ke pangkor.. agak2 brape kos semua?

Reply

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3

{ 2 trackbacks }

Previous post:

Next post: