Keputusan Perlawanan Pertama Liga Super 2012: T-Team Mendahului

by Adam Roslan on January 11, 2012 · 1 comment

Keputusan Perlawanan Pertama Liga Super 2012: T-Team Mendahului

Juara bertahan, Kelantan membuka saingan Liga Super dengan mencatatkan kemenangan tipis 2-1 menewaskan pendatang baru pasukan Lions XII (skuad bawah 23 tahun Singapura) pada perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini. Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain pertahanan, Baihakki Khaizan pada minit ke-33.

Namun kegembiraan pasukan Lions XII tidak bertahan lama apabila penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-45 dan pemain import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata menerusi jaringan penalti pada minit ke-80.

Selain Kelantan, pasukan Felda United, Sarawak, Perak, T-Team dan Johor FC turut mengutip tiga mata setelah berjaya menewaskan lawan masing-masing pada saingan awal liga malam ini.

Sarawak turut sama mencipta kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Negeri, Kuching masing-masing menerusi jaringan K.Ravindran dan Hairol Mokhtar pada minit ke-71 dan minit ke-80.

T-Team mencatat kemenangan selesa setelah berjaya menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pemain tengah T-Team, Mohd Hafiz Mohd Noor menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-12 dan minit ke-29, sebelum pemain tengah, Zairo Anuar Zalani melengkapkan kemenangan itu empat minit kemudian.

Perak pula mencatat kemenangan tipis 1-0 kepada Terengganu di Stadium Perak, Ipoh menerusi pemain importnya dari Serbia, Michal Kubala pada minit ke-75.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, pasukan Selangor PKNS tewas 1-2 kepada pasukan Johor FC.

Sementara itu, Selangor mencatat keputusan seri 2-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Jean Effa Owona pada minit ke-3 dan minit ke-34 (penalti) manakala dua gol pasukan tuan rumah disumbangkan Amirulhadi Zainal pada minit ke-66 dan Safiq Rahim menerusi sepakan penalti pada minit ke-73.

Terdahulu pada saingan sebelah siang, Felda United mencatatkan kemenangan ke atas Sabah 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol pertama pasukan bimbingan E.Elavarasan dijaringkan oleh Mohd Raimi Md Nor pada minit ke-26 sebelum pemain baru pasukan itu, Yong Kuong Yong menjaringkan gol kedua tiga minit kemudian. via BERNAMA.

{ 1 comment… read it below or add one }

titan January 11, 2012 at 7:43 pm

takpe, janji selangor tak kalah. hehe..
Entri terkini titan: Komisen terakhir dari AdgitizeMy Profile

Reply

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3

Previous post:

Next post: